KUALA LUMPUR – Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menemplak Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin kerana meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Zambry berkata, tindakan tersebut tidak wajar kerana keputusan mahkamah berkenaan melibatkan penderitaan dan kesan besar terhadap individu serta keluarga terlibat.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain. Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Bee Yin daripada DAP hari ini memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.
Hantaran itu dimuat naik selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














