PUTRAJAYA – Penubuhan Sekretariat Kesatuan Ekonomi ASEAN Worldwide bakal menjadi pemangkin baharu kepada usaha membawa produk dan perkhidmatan usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau ini dan seterusnya ke peringkat global.
Inisiatif itu akan digerakkan menerusi platform NH Mall Worldwide, sebuah hab perniagaan dan bilik pameran bersepadu yang dibangunkan hasil kerjasama strategik bersama Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahasama Putrajaya (DPPUP).
Pengerusi Sekretariat Kesatuan Ekonomi ASEAN Worldwide dan NH Mall Worldwide, Zawawi Ramli berkata, penubuhan sekretariat itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi struktur operasi yang menyatukan usahawan dalam satu ekosistem ekonomi yang tersusun dan berdaya saing.
Menurut beliau, NH Mall Worldwide akan berperanan sebagai pusat sehenti yang membolehkan usahawan mempamerkan produk, membina rangkaian perniagaan serta memanfaatkan sokongan pemasaran dan logistik untuk pasaran luar negara.
“Matlamat utama kami adalah untuk membina laluan yang jelas dan berstruktur supaya usahawan tempatan tidak bergerak secara bersendirian. Melalui Kesatuan Ekonomi ini, kita bergerak secara berjemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena perasmian Pejabat NH Mall Worldwide di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sekretariat Kesatuan Ekonomi ASEAN Worldwide, Wan Mohd Fadhlan Wan Yusoff.
Menurut Zawawi, fokus utama NH Mall Worldwide adalah kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi produk makanan, fesyen, kesihatan, perkhidmatan serta ekonomi komuniti dengan penekanan terhadap pematuhan piawaian kualiti dan pensijilan.
“Platform ini juga akan menyediakan sokongan daripada segi latihan, promosi digital serta bimbingan strategik agar usahawan lebih bersedia berdepan cabaran pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, penggunaan teknologi digital dan media sosial akan menjadi teras kepada strategi pemasaran NH Mall Worldwide, termasuk menerusi platform e-dagang dan siaran langsung jualan bagi memperluas capaian pelanggan.
Sementara itu, Wan Mohd Fadhlan berkata, DPPUP menyokong penuh inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa ekonomi usahawan setempat, khususnya di Putrajaya dan kawasan sekitarnya.
Menurut beliau, sasaran awal sekretariat melalui NH Mall Worldwide adalah untuk menghimpunkan 1,000 usahawan menjelang tahun 2026, sekali gus mewujudkan komuniti perniagaan yang kukuh dan saling menyokong.
“Kita mahu bermula dengan membantu usahawan tempatan terlebih dahulu, namun platform ini terbuka kepada usahawan dari seluruh negara tanpa halangan,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan bersepadu itu diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan serta mengurangkan kebergantungan usahawan kepada saluran jualan yang bersifat individu dan terpecah-pecah.
“NH Mall Worldwide turut mendapat sokongan rangkaian industri termasuk pemilik kilang dan penyedia perkhidmatan OEM (pengilang peralatan asal) yang membolehkan usahawan meningkatkan skala pengeluaran secara lebih sistematik,” ujar Wan Mohd Fadhlan. -KOSMO! ONLINE














