Pelbagai jenis kopi yang disediakan di kebanyakan kafe di negara ini.

Kopi asli tak salah, manis buat ketagih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seseorang boleh ketagih kopi sekiranya terdapat tambahan kandungan di dalam minuman tersebut yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pegawai Dietetik Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara, Farah Farhanah Hashim berkata, antara kan­dungan tambahan termasuk gula dan susu sekali gus penyedap kepada minuman tersebut.

“Ketagihan terjadi apabila kopi ditambah kandungan mi­salnya gula, gula apong, karamel, syrup, krimer dan susu, selain kopi itu diambil dengan cara yang salah.

“Sekiranya minum kopi sahaja tanpa tambahan kandungan, contoh kopi paling asas ialah black coffee atau americano, ia tidak menyebabkan ketagihan,” katanya.

Ditanya sama ada kopi boleh mempengaruhi mood seseorang, beliau berkata, berdasarkan kajian pada 2022, secara umumnya tiada keputusan yang konsisten.

“Ia hanya beri perubahan seketika sahaja. Contoh kalau pagi mengantuk dan kita mahukan kopi untuk segarkan badan, tapi jika kita biar tanpa minum kopi, badan boleh menerima keadaan itu walaupun tidak minum kopi.

“Kafein tidak seperti dadah yang boleh mempengaruhi mood. Sebenarnya ia lebih kepada psikologi sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pengambilan kopi boleh diambil sekurang-kurangnya 90 minit atau satu jam setengah hingga dua jam selepas bangun tidur dengan cadangan pengambilannya tiga cawan sehari atau kira-kira 450 milliliter (ml).

Menurutnya, kopi tidak disarankan diambil semasa perut kosong kerana ia boleh menjadikan badan kerintangan insulin yang mana menghalang­nya untuk bekerja.

“Insulin menukarkan gula dalam badan kepada bentuk tenaga dan jika minum kopi dalam keadaan perut kosong, insulin ini tidak bekerja.

“Ia menaikkan gula dalam badan yang boleh menyebabkan refluks, akan rasa pedih ulu hati dan ia akan meningkatkan asid dalam perut,” katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nik Daliana Nik Fa­rid pula berkata, pengambilan kopi dalam jumlah yang disarankan berpotensi memberikan manfaat kesihatan seperti mencegah obesiti, sindrom metabolik dan diabetes jenis 2.

Katanya, pengambilan kopi sehingga 400 miligram (mg) ka­fein sehari, bersamaan satu hingga empat cawan dianggap selamat, malah ia dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah untuk penyakit seperti diabetes jenis 2 dan beberapa jenis kanser.

“Namun, pengambilan kopi secara berlebihan boleh menyebabkan masalah seperti ke­gelisahan, jantung berdebar dan gangguan tidur, terutama bagi individu yang sensitif terhadap kafein,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN