BUKIT KAYU HITAM – Hasrat dua warga China untuk memasuki negara ini dipercayai bagi tujuan bekerja tanpa kebenaran tidak kesampaian apabila mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal, hari ini.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu diarahkan berbuat demikian ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 2 petang tadi.
Timbalan Komander (Operasi) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Noorazam Ahmad berkata, penolakan kemasukan dibuat mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana mereka disyaki bukan pelancong tulen dan gagal mematuhi syarat kemasukan ke Malaysia.
“Antara faktor penolakan ialah kegagalan membuktikan tujuan kemasukan yang sah, penggunaan tempahan tiket pulang ke negara asal yang palsu serta disyaki mempunyai niat untuk bekerja di negara ini tanpa kebenaran.
“Susulan itu, kedua-dua individu terbabit diarahkan berpatah balik ke negara asal dan tiada rampasan dilakukan dalam tindakan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang serta syarat kemasukan dibenarkan masuk ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE














