MANCHESTER – Manchester City terus menggugat kedudukan Arsenal dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menang 3-0 ke atas West Ham United di Stadium Etihad malam kelmarin.
Dua gol menerusi penyerang berbisa, Erling Haaland serta satu jaringan Tijani Reijnders memastikan The Citizens terus memberi tekanan kepada The Gunners yang turut mencatat kemenangan ke atas Everton.
Walaupun menang selesa ke atas West Ham, namun pengurus City, Pep Guardiola masih belum berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang dipamerkan dan menggesa pemain-pemainnya untuk memperbaiki prestasi.
“Pemain-pemain layak untuk meraikan kemenangan ini, bukannya saya tidak gembira kami menang tetapi ia masih perlu diperbaiki. Bagaimanapun, pemain harus diberikan kredit atas apa yang dilakukan dalam lapan perlawanan terakhir.
“Bagi saya, pasukan ini masih berada dalam proses untuk matang dan sekarang mereka sudah menunjukkan peningkatan. Saya fikir kemenangan malam ini (kelmarin) boleh menjadi amaran kepada pasukan lain,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mengakui gembira apabila The Citizens masih berada dalam perebutan takhta liga musim ini, lebih-lebih lagi mereka tidak dibezakan dengan jurang mata terlalu besar.
“Memang saya gembira kami masih berada dalam perebutan liga tetapi usaha kami mungkin sia-sia jika tidak memperbaiki prestasi kerana itu satu-satunya cara untuk City menewaskan Arsenal,” ujar Guardiola. – AGENSI














