ALOR SETAR – Polis mengambil keterangan seorang warden maahad tahfiz berusia 26 tahun berhubung insiden seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dirotan di Sungai Kob, Kulim yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu dipercayai berlaku kerana mangsa yang baru tujuh bulan belajar di tahfiz itu mengganggu rakan-rakannya yang sedang belajar.
“Bapa mangsa membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu selepas mendapati lebam pada tubuh anaknya. Rakaman televsiyen litar tertutup (CCTV) kejadian diserahkan kepada pihak pendakwa raya pada 18 Disember.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya di sini hari ini.
Adzli berkata, setakat ini pihaknya belum membuat tangkapan ke atas suspek berkenaan. – KOSMO! ONLINE














