SEREMBAN – ASEAN memandang serius ketegangan yang berlaku antara Kemboja dan Thailand kerana ia berpotensi menjejaskan imej rantau ini di mata dunia, sekali gus merugikan negara-negara anggota.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, susulan itu, Malaysia mengharapkan menerusi Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini di Kuala Lumpur dapat menghentikan konflik yang berlaku.
Menurutnya, ini adalah usaha ASEAN untuk memastikan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan di rantau ini terus terpelihara.
“ASEAN dibina atas prinsip sebagai zon aman, bebas dan berkecuali seperti yang termaktub dalam piagam kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berkhatan anjuran Komuniti Sejahtera di Senawang Perdana di sini, hari ini.
Mohamad menegaskan kekuatan utama ASEAN terletak kepada prinsip “centrality” atau kepusatan, iaitu kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan negara anggota.
“Negara luar dan dunia melihat ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman dan antara blok ekonomi dengan pertumbuhan paling pesat di dunia. Jika berlaku pergeseran sesama anggota, ia akan mengganggu “centrality” ASEAN dan akhirnya merugikan kita semua,” katanya.
Mengulas isu sempadan antara Kemboja dan Thailand, Mohamad menegaskan ASEAN dan Malaysia tidak akan mencampuri urusan dalaman negara anggota selaras dengan prinsip tidak campur tangan yang termaktub dalam Piagam ASEAN. – KOSMO! ONLINE














