KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita tempatan ditemukan terapung di sungai berhampiran sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian selepas menerima maklumat terdapat satu mayat terapung di sungai berkenaan kira-kira pukul 11.37 pagi.
“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian, namun mayat berkenaan dipercayai telah dihanyutkan arus ke arah Sungai Gombak sebelum polis tiba.
“Sekitar pukul 12 tengah hari, anggota dari Balai Polis Chow Kit berjaya menemukan mayat tersebut di dalam sungai berhampiran Sunway Putra Mall, Jalan Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, mayat berkenaan dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 36 tahun, tidak bekerja dan menetap di kawasan Chow Kit.
“Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sejak 17 Disember lalu dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemukan,” ujarnya.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
“Mangsa dipercayai mengalami kemurungan selepas teman lelakinya dipenjarakan berkaitan kes dadah,” katanya.
Jelasnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihanya. – KOSMO! ONLINE














