fbpx
MALAYSIA memastikan emas edisi ke-33 kali ini menjadi milik negara hasil kemenangan 6-0 ke atas Indonesia pada aksi final semalam. - MHC

Sukan SEA: Emas kesembilan Malaysian Tigress

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CHONBURI – Skuad hoki wanita negara merangkul pingat emas Sukan SEA buat kali kesembilan berturut-turut dengan kali ini menerusi kemenangan selesa 6-0 ke atas Indonesia dalam aksi final edisi ke-33 di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand semalam.

Ini membuktikan Malaysian Tigress terus mengekalkan penguasaan mereka dalam arena hoki padang wanita sejak mula memenangi pingat emas bermula edisi 1997 di Jakarta, Indonesia selepas dua edisi pertama acara itu diperkenalkan pada 1993 berakhir di tempat kedua.

Ketua jurulatih wanita, Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan kejayaan itu adalah permulaan yang terbaik dalam persediaan anak-anak buahnya bakal menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia pada Februari tahun depan.

“Kami sebenarnya bermula agak perlahan tetapi pemain dapat kawal emosi dan jaringkan gol. Beraksi dalam keadaan tekanan seperti ini, memang satu perasaan lega kerana berjaya kekalkan pingat emas.

“Tak mudah sebenarnya nak menang hari ini, terima kasih kepada pemain-pemain yang memberikan aksi terbaik dalam keadaan tekanan tinggi sebegini,” katanya.

Skuad negara, No. 22 dunia, ternyata dalam kelas berbeza berbanding Indonesia yang menghuni ranking ke-70 dunia dan dikendalikan oleh bekas penolong jurulatih Malaysia, Iman Gobinathan.

Ia terbukti apabila Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin membuka tirai jaringan seawal kelapan sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menggandakan kedudukan berselang 11 minit kemudian.

Khairunnisa kemudiannya meledak gol kedua peribadi pada minit ke-27 sebelum Malaysian Tigress menambah dua lagi jaringan pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-46, m-49).

Penyerang berpengalaman, Hanis Nadiah Onn memastikan pesta gol skuad negara dengan jaringan keenam ketika saingan berbaki tiga minit sebelum tamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI