PETALING JAYA – Cef selebriti popular Datuk Fazley Yaakob tidak menolak antara punca pasangan suami isteri memilih jalan bercerai adalah disebabkan status kewangan yang tidak lagi stabil seperti awal perkahwinan.
Ujar Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 47, realiti hidup berumah tangga tidak semanis janji sewaktu bercinta apabila ramai gagal bersedia menghadapi ujian sebenar selepas lafaz akad.
“Maaflah, ramai bercakap dan statistik pun menunjukkan banyak kes cerai berpunca daripada masalah kewangan.
“Ke mana perginya janji manis masa bercinta, sanggup susah dan senang bersama?
“Atau ketika bercinta semua kelihatan indah, bila sudah kahwin keindahan itu sekadar hiasan profil semata-mata?” katanya dalam Threads
Berseloroh tetapi sarat sindiran, pelantun lagu Asmara Ini itu turut menyentuh soal perubahan sikap pasangan selepas melangkah ke alam perkahwinan.
“Lepas kahwin, masing-masing sudah penat kawal imej cantik dan kacak, akhirnya bertukar jadi ‘Hantu Kak Limah’ dan ‘Godzilla’?” kongsinya.
Perkongsian itu pantas mengundang reaksi netizen, dengan rata-rata netizen bersetuju pandangan bapa tiga anak yang mencerminkan realiti rumah tangga masa kini.
“Bercinta janji sampai syurga, masuk alam perkahwinan semua diuji dengan duit dan emosi,” tulis seorang netizen.
“Pedas tapi betul. Bukan semua orang bersedia hadap tekanan hidup selepas kahwin,” komen seorang peminat.
“Masalah kewangan kecil boleh jadi besar kalau komunikasi pasangan lemah,” ujar seorang pengguna media sosial.
Bagaimanapun, ada juga netizen berpendapat isu kewangan hanyalah pemangkin, manakala asas sebenar terletak pada kematangan emosi dan kejujuran pasangan dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Sebelum ini, deretan selebriti tanah air berdepan konflik rumah tangga sehingga mencetuskan perhatian umum, antaranya Kamal Adli dan Uqasha Senrose, selain Linda Hashim dan Beego, sekali gus membuka perbincangan luas mengenai cabaran sebenar kehidupan berumah tangga di sebalik dunia glamor. – KOSMO! ONLINE














