PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan pengeluaran tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” susulan penularan sepucuk surat di media sosial.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tanda indeks siri “EE” tidak pernah dikeluarkan, diperkenalkan atau diluluskan oleh jabatan berkenaan.
“Surat kelulusan yang tular itu adalah palsu dan merupakan satu bentuk penipuan (scam) yang berpotensi mengelirukan orang awam.
“Siasatan awal mendapati format serta identiti surat rasmi jabatan digunakan secara tidak sah termasuk kepala surat, gaya penulisan dan susun atur yang menyerupai dokumen rasmi, sekali gus menjejaskan kredibiliti jabatan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Aedy berkata pihaknya JPJ membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan yang meragukan, selain membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ,” katanya. – KOSMO! ONLINE














