KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempertahankan tindakan pihaknya menyita sebuah kereta mewah milik pempengaruh yang tular di media sosial selepas kenderaan itu gagal mematuhi keperluan asas keselamatan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sitaan dilakukan kerana tidak mempunyai perlindungan insurans selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang telah tamat tempoh, sekali gus berisiko kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, pemanduan tanpa perlindungan insurans bukan sahaja membahayakan pemandu dan keluarganya, malah boleh memberi kesan besar kepada pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan.
“Ketiadaan insurans merupakan kesalahan serius kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa manusia. Dalam isu seperti ini, tiada ruang untuk kompromi,” katanya pada sidang akhbar Ops Luxury 4.0 di Depoh Sitaan JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan kenderaan berisiko terus berada di jalan raya dan berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang awam.
Mengulas dakwaan pempengaruh terbabit yang memohon budi bicara, beliau menegaskan bahawa JPJ tidak boleh berkompromi dalam kes yang melibatkan keselamatan, selain semua tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, JPJ masih mempertimbangkan budi bicara bagi kesalahan kecil seperti penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ atau aksesori kenderaan, namun kelonggaran itu tidak terpakai bagi kes melibatkan insurans dan LKM.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang pempengaruh meluahkan rasa tidak puas hati selepas kenderaan mewah miliknya disita JPJ walaupun mendakwa telah memohon simpati dan budi bicara daripada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE














