PETALING JAYA – Rata-rata penunggang motosikal yang pernah terlibat kemalangan mengakui mereka menyesal kerana tidak memakai helmet sehingga mengakibatkan kecederaan parah walaupun hanya untuk perjalanan singkat.
Seorang penghantar barang, Hariz Iskandar Abu Hashan, 32, berkata, dia pernah cedera teruk pada muka akibat tidak memakai topi keledar dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak yang terletak berdekatan rumah.
“Ketika saya dalam perjalanan ke stesen minyak bersama rakan, saya dilanggar oleh sebuah kereta yang tiba-tiba membelok ke sebelah kanan semasa saya cuba memotongnya dari sebelah kanan untuk masuk ke kawasan perumahan.
“Kemalangan itu mengakibatkan saya terjatuh sehingga dua gigi hadapan saya patah, selain jahitan pada bahagian bibir dan kening,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang pekerja warung makanan, Nik Mohamad Ayub Nik Mohd. Zaki, 26, berkata, kemalangan ketika usianya 22 tahun masih terkesan sehingga hari ini.
“Ketika itu, saya dalam perjalanan dari kedai runcit untuk balik ke rumah. Disebabkan jarak yang tidak jauh, saya fikir tiada masalah untuk tidak memakai helmet.
“Tiba-tiba saya terlibat kemalangan dan cedera pada tangan, kaki dan sebahagian anggota badan lain sehingga saya tidak selesa apabila melakukan aktiviti tertentu,” katanya.
Situasi sama berlaku kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi, Iqhwan Hamdan, 22, yang menerima tiga jahitan pada bahagian kepala.
“Dalam perjalanan ke kedai di kawasan kampung saya, saya terlanggar sebuah kereta ketika cuba memotong kenderaan itu.
“Selain jahitan di kepala, saya juga menerima jahitan pada bahagian lutut. Kalau saya pakai topi keledar, pasti tiada kecederaan pada bahagian kepala,” katanya.














