fbpx
RAHMAD MARIMAN

Melaka mahu semua guru dibenarkan merotan di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kerajaan negeri mahu hukuman rotan di sekolah dilaksanakan dengan kebenaran diberikan kepada semua guru mengikut garis panduan ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan itu dilihat sebagai satu keperluan susulan peningkatan kes ponteng serta penurunan tahap disiplin pelajar.

“Sebenaranya, ramai yang bersetuju hukuman rotan ini kerana pada zaman dahulu disiplin pelajar lebih terkawal kerana rotan bukan untuk menyeksa tetapi untuk mendidik, itu pun rotan hanya dikenakan kepada pelajar lelaki.

“InsyaAllah kalau Kabinet dan Kementerian Pendidikan bersetuju (cadangan rotan) semua guru boleh merotan tetapi ada peraturan dan tahapnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, keadaan kini menyukarkan warga pendidik melaksanakan hukuman fizikal kerana sekiranya ibu bapa membuat laporan, guru terlibat berisiko dikenakan tindakan undang-undang.

“Sebab itu juga dalam cadangan baharu ini, antara syaratnya adalah mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu itu pun hanya melibatkan pelajar lelaki sahaja.

“Tujuan hukuman adalah untuk menanam rasa hormat pelajar terhadap guru. Supaya pelajar tidak lawan (biadap) dengan guru, kalau tak macam mana nak belajar?. Kalau hormat pelajar akan dengar dan belajar dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, Rahmad dalam ucapannya turut mendedahkan seramai 3,000 pelajar direkodkan ponteng sekolah setiap hari di Melaka.

Katanya, susulan itu kerajaan negeri di Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan baru-baru ini turut membentangkan solusi segera iaitu menarik balik kelayakan pelajar terlibat daripada menerima sebarang bentuk bantuan kerajaan termasuk biasiswa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI