fbpx
Hanya ibu bapa yang memakai helmet ketika mengambil anak-anak pulang dari sebuah sekolah kebangsaan di Bachok.

JPJ, polis ‘kirim salam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan saman kepada lebih 100 pelajar yang menunggang motosikal tanpa helmet di kawasan Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, ke­semua saman itu dikeluarkan menerusi operasi secara berkala di kawasan tersebut.

Katanya, JPJ juga mengesan masih ramai ibu bapa mengabaikan pemakaian topi keledar anak-anak ketika menunggang motosikal ke sekolah.

“Kami sentiasa menekankan pemakaian topi keledar dalam kalangan pelajar yang menunggang motosikal bersendirian ke sekolah. Kami juga tegur ibu bapa yang tidak memakai helmet semasa hantar anak ke sekolah.

“Kesedaran ibu bapa dalam menggalakkan anak memakai topi keledar amat kurang terutama di luar bandar,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Ujarnya, JPJ juga pernah me­nerima aduan berhubung pelajar yang berlumba sesama sendiri selepas pulang dari sekolah tanpa memakai topi keledar.

Sementara itu, JPJ Pulau Pinang pula memperhebatkan usaha advokasi dan pendidikan keselamatan jalan raya bagi memastikan pematuhan undang-undang terus ditingkatkan dalam kalangan masyarakat.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata, pemerhatian mendapati bukan sahaja pelajar melakukan kesalahan, malah terdapat ibu bapa yang dikesan tidak memakai helmet ketika mengambil atau menghantar anak ke sekolah.

“Kita guna pendekatan advokasi dengan menyampaikan ceramah keselamatan jalan raya melalui pelbagai kempen yang diadakan dari semasa ke semasa.

“Memandangkan kebanyakan program dijalankan di sekolah, kita berharap pelajar dapat menjadi mata dan telinga JPJ untuk menasihati ibu bapa mereka bahawa perbuatan itu salah di sisi undang-undang.

“Dengan cara ini, tahap ke­sedaran mereka juga dapat di­tingkatkan,” katanya.

Kadar saman JPJ bagi kesalahan tidak memakai topi keledar ialah kompaun sehingga RM300.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN