JOHOR BAHRU – Hujan lebat melebihi dua jam di sekitar daerah ini menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat sekaliguskan ratusan pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Hujan lebat mula turun kira-kira pukul 3.30 petang menyebabkan sistem perparitan di bandar gagal menampung jumlah air yang meningkat mendadak.
Antara kawasan paling terjejas termasuk pusat bandar, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Taman Pelangi, serta laluan sekitar Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Paras air di beberapa lokasi dilaporkan naik sehingga paras lutut, memaksa kenderaan ringan memperlahankan perjalanan dan ada yang terpaksa berhenti di bahu jalan.
Dalam kejadian sama, sebuah pentas acara yang sedang dipasang di kawasan Dataran Bandaraya dilaporkan runtuh akibat angin kuat dan hujan lebat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengesahkan menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kenderaan terperangkap dalam air serta premis kedai yang dimasuki banjir.
Pasukan penyelamat turut digerakkan ke beberapa lokasi kritikal untuk memastikan tiada mangsa terperangkap di dalam kenderaan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan sedang melakukan kerja pembukaan laluan air dan pembersihan sampah sarap yang dipercayai menjadi punca aliran tersumbat.
Pihak berkuasa juga memantau keadaan paras air di kawasan rendah yang berisiko mengalami banjir berulang jika hujan turun semula. – KOSMO! ONLINE














