IPOH – Peralihan tanggungjawab menyelia Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Kolej Matrikulasi dibawah Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menjejaskan pelajar-pelajar pada masa depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penyerahan itu tidak akan dibuat secara tergesa-gesa supaya pelajar-pelajar tidak terjejas dengan pengambilalihan tersebut yang bermula tahun depan mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026-2030.
“Pada minggu depan, KPT dan KPM akan mengadakan perbincangan untuk menyusun garis masa pelaksanaan ini. Memang kita tidak boleh melaksanakan dengan segera ataupun tiba-tiba hari ini umum esok terus laksanakan,” katanya kepada pemberita di Panggung Silver Star, Kampung Simee di sini hari ini.
Terdahulu, beliau berucap sebelum merasmikan Majlis Peluncuran dan Penyerahan Papan Pintar kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.
Tambah Wong, peralihan itu turut melibatkan beberapa isu seperti penyelenggaran aset dan tenaga pengajar.
“Perbincangan telah bermula beberapa bulan yang lepas apabila kita dalam usaha untuk memuktamadkan rnengikut RMK-13. Jadi ia akan dilaksanakan dalam beberapa tahun (menjelang 2030),” katanya.- KOSMO! ONLINE














