REMBAU – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaannya merempuh sebuah lori lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kilometer (KM) 41.7, Jalan Seremban-Tampin, dekat Kendong, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, dalam kejadian pukul 3.01 pagi itu, mangsa, Muhammad Nazri Lili, 27, dari Gedok, Tampin maut di lokasi akibat kecederaan di bahagian dada kerana tersepit di tempat duduknya.
Katanya, kemalangan membabitkan lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 51 tahun dan lori CNG dipandu mangsa yang bergerak dari arah sama.
“Semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran lokasi kejadian mendapati sewaktu lori Hino berhenti di lampu isyarat merah, tiba-tiba datang lori dari arah belakang melanggar kenderaan berat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan kemalangan itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota turut terlibat dalam operasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mayat Muhammad Nazri dihantar ke Hospital Rembau untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE














