KOTA BHARU – Empat tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sebuah pasar raya di Kuala Krai dan sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang dekat sini bulan lalu.
Tertuduh, Raja Yusuf Saifullah Raja Shariffudin, 34, Miqdad Elya Zulkifli, 41, Nor Hizam Mohd. Nor, 45, dan Mohamad Faizul Mat Yusoh, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh berikutan kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Raja Yusuf Saifullah dan Miqdad Elya didakwa menyeludup dua lelaki Myanmar di sebuah pasar raya di Jalan Utama Kota Bharu-Gua Musang, di Kuala Krai pada pukul 4.45 petang, 14 November lalu.
Nor Hizam dan Mohamad Faizul pula dituduh menyeludup enam lelaki Myanmar di sebuah rumah teres di Taman Redha, Pulai Chondong, Machang pada pukul 12.30 tengah malam, 15 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan jaminan kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Peguam Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal mewakili Raja Yusuf Saifullah merayu jaminan diberikan kepada anak guamnya atas alasan lelaki itu yang mempunyai isteri dan seorang anak merupakan penanggung tunggal.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana jaminan bagi kes itu perlu dipohon di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 21 Januari 2026 untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














