fbpx
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas 12-21, 12-21 kepada gandingan Indonesia, Moh Reza Pahlevi Isfahani–Sabar Karyaman Gutama.

Sukan SEA: Skuad badminton lelaki kempunan sumbang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Impian skuad badminton lelaki negara untuk menamatkan kemarau pingat emas 20 tahun terus berpanjangan apabila tunduk 0-3 kepada seteru tradisi, Indonesia pada aksi final Sukan SEA Thailand 2025 di Gimnasium Thammasat Rangsit, hari ini.

Kekalahan tersebut meranapkan sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membawa pulang pingat emas dalam acara beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2005 di Manila, Filipina.

Lebih perit, rekod kekalahan terhadap Indonesia terus berlanjutan apabila Malaysia tewas empat kali dalam lima final terakhir iaitu edisi 2017 di Kuala Lumpur, 2019 di Filipina, 2023 di Kemboja dan kini sekali lagi di Thailand.

Skuad negara juga kempunan meraih kejuaraan selepas tumpas di tangan Thailand pada edisi 2021 di Vietnam.

Aksi final hari ini bermula hambar apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao gagal menemui rentak menentang Alwi Farhan sebelum akur tewas 12-21, 19-21 dalam pertarungan 46 minit.

Beregu No.2 dunia, Aaron Chia- Sooh Wooi Yik yang diletakkan harapan untuk kembali mengikat kedudukan juga tersungkur mudah 12-21, 12-21 kepada Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam masa hanya 34 minit.

Aaron mengakui kecewa dengan keputusan itu memandangkan mereka banyak melakukan kesilapan mudah sehingga menyebabkan lawan mudah meraih mata.

“Saya rasa kebanyakan adalah kerana kesilapan mudah. Itu punca utama kekalahan hari ini. Prestasi lawan kami hari ini memang sangat berbeza dan mereka juga adalah antara beregu terbaik dunia,” katanya.

Malaysia yang meletakkan harapan terakhir pada perseorangan kedua, Justin Hoh terutama untuk menghidupkan kembali peluang ternyata gagal apabila pemain muda itu tidak mampu untuk membenam cabaran Muhammad Zaki Ubaidillah sebelum tewas 12-21, 14-21. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI