fbpx
AYOB KHAN (kiri) ketika operasi merampas bahan kimia untuk dijadikan letupan di Labu Kubung, Perak. - IHSAN FACEBOOK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Mansuh Sosma: Jangan terlalu taasub hak asasi – Ayob Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan desakan untuk memansuhkan undang-undang pencegahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma demi hak asasi wajar ditolak.

Ayob Khan berkata, isu hak asasi perlu diimbangi dengan keperluan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

“Desakan untuk memansuhkan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA dan kini Sosma oleh pihak-pihak tertentu wajar ditolak. Jangan terlalu taasub atau obses dengan ‘hak asasi’ sehingga mengetepikan keselamatan negara.

“Jangan menyesal setelah berlaku serangan pengganas besar-besaran seperti di negara jiran dan di peringkat antarabangsa. Serangan-serangan yang berjaya digagalkan oleh Cawangan Khas adalah kerana Malaysia mempunyai ISA (dahulu).

“Tiada gunanya lagi penyesalan selepas berlaku serangan dan nyawa tidak berdosa terkorban,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Terdahulu, dalam hantaran sama, Ayob Khan berkongsi hantaran ulangtahun ke-24 operasi besar-besaran ke atas kumpulan Jemaah Islamiah (JI) oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kongsi beliau, selepas empat bulan dunia digegarkan dengan serangan 911 oleh Kumpulan Al-Qaeda, rantau Asia Tenggara menjadi tumpuan ekoran pembongkaran kumpulan militan JI oleh Cawangan Khas PDRM pada Disember 2001.

“Ada juga segelintir pihak yang skeptikal dan cuba mengaitkan tindakan pembanterasan JI oleh Cawangan Khas sebagai teori konspirasi untuk memburukkan imej Islam dan cuba mengalih isu-isu politik dalaman Malaysia.

“Ramai yang tidak mengetahui Cawangan Khas mula memantau aktiviti anggota-anggota JI sejak awal tahun 2000. Cawangan Khas adalah agensi perisikan paling awal menghidu dan mengesan aktiviti JI yang mempunyai rangkaian di peringkat Asia Tenggara, Australia dan dengan Kumpulan Al-Qaeda,” ujar beliau.

TIGA pucuk pistol dan peluru yang dirampas Cawangan Khas PDRM di Ulu Tiram, Johor Bahru. – IHSAN FACEBOOK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Katanya, menerusi risikan awal pada awal 1998, sebelum berlangsungnya Sukan Komanwel (Sukom), pihak Cawangan Khas menerima maklumat risikan mengenai kumpulan militan yang beroperasi di Negeri Sembilan, merancang untuk melancarkan serangan sewaktu Sukom.

“Hasil siasatan Bahagian Counter Terrorism mengesan satu kumpulan yang menyebarkan fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Waljamaah diketuai dua warga Indonesia iaitu Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir di Ulu Serting, Negeri Sembilan.

“Mereka aktif menyebarkan fahaman tersebut dengan kerjasama pemilik madrasah yang memegang fahaman sama dan mengaku sebagai ‘Salafi’ . Mereka menyusup masuk ke Malaysia pada April 1984 bagi mengelak operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa Indonesia,” katanya.

Ayob Khan berkata, terdapat anggota JI merancang melakukan tindakan sabotaj di Malaysia bagi membalas dendam atas penangkapan ahli mereka antaranya sabotaj terhadap saluran paip air Johor Bahru ke Singapura

”Rancangan lain adalah serangan bom kenderaan ke atas Pusat Imigresen Woodland Singapura, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Rangkaian Restoran Mcdonalds, KFC dan Pizza Hut di Lembah Klang.

“Mereka turut menyasarkan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan Singapura selain serangan ke atas kapal-kapal perang Amerika Syarikat di perairan Singapura.

“Pada malam 31 Disember 1999 (Y2K) dua anggota JI atas arahan pemimpin mereka meletakkan enam batang bom paip dalam tong sampah sekitar pusat hiburan di Bangsar, Kuala Lumpur namun tidak meletup kerana adunan bahan kimia terdedah hujan,” katanya.

SENJATA api yang disembunyikan dalam lubang najis di Ulu Tiram, Johor Bahru. – IHSAN FACEBOOK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Sepanjang operasi itu, pihaknya berjaya merampas senjata api, peluru dan bahan letupan antaranya dua tan Ammonium Nitrate di Muar, peralatan membuat bom di Masai milik Dr. Azhari Husin.

Turut dirampas sepucuk pistol Taurus Brazil dan 16 butir peluru di Tanah Merah, Kelantan, dua pucuk pistol dan 88 butir peluru di Kota Bharu, Kelantan.

“Selain itu, tiga pucuk pistol dan 151 butir peluru dirampas di Ulu Tiram, Johor, peluru (Sandakan, Sabah), bahan kimia membuat bom (Pelabuhan Klang) dan bahan kimia membuat bom (Gombak),” katanya.

Sehubungan itu, tindakan proaktif yang diambil oleh Cawangan Khas di bawah ISA berjaya menggagalkan cubaan JI untuk melancarkan serangan ganas di Malaysia.

“Rancangan serangan Pusat Imigresen Woodland Singapura, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pusat hiburan di Lembah Klang dan kedutaan-kedutaan asing di Kuala Lumpur tergendala ekoran tangkapan besar-besaran ke atas anggota kanan JI.

“Perancang utama JI seperti Hambali, Mukhlas, Dr. Azahari, Nordin Mohd. Top dan lain-lain melarikan diri ke luar negara.  Mereka inilah yang kemudiannya merancang dan melancarkan siri serangan besar-besaran di Indonesia bermula Oktober 2002,” ujarnya.

Tegasnya, Malaysia beruntung kerana mempunyai pegawai dan anggota Cawangan Khas yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menangani ancaman tersebut.

“Kita juga bernasib baik kerana ketika itu masih mempunyai ISA satu-satunya undang-undang pencegahan dan pemulihan yang amat berkesan dalam menangani ancaman ke atas keselamatan negara sejak merdeka lagi.

“Kejayaan Cawangan Khas dalam membongkar aktiviti kumpulan JI mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Dalam konteks undang-undang pencegahan, negara-negara Barat dan Asia juga turut memiliki undang-undang yang hampir sama dalam menangani ancaman pengganas dan lain-lain ancaman terhadap keselamatan negara.

“Singapura dan Brunei masih mengekalkan ISA. Amerika Syarikat masih ada Patriot Act.  Begitu juga dengan Indonesia, India, Perancis, Australia dan lain-lain negara Barat,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN