fbpx
Bakat wanita sering dipandang sebelah mata walaupun prestasi setaraf lelaki. – GAMBAR HIASAN

PWEM perkukuh peranan wanita dalam dunia e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Wanita Esports Malaysia (PWEM) muncul sebagai platform pertama yang menghimpunkan wanita bukan sahaja sebagai pemain, tetapi juga penggerak utama dalam ekosistem e-sukan termasuk jurulatih, pengulas, pengurus acara, penganjur pertandingan dan personaliti kandungan.

Ia ditubuhkan pada Jun 2025 di bawah pimpinan Afrina Fatini Mohd. Azmi dengan matlamat memperkukuh peranan wanita dalam industri e-sukan tempatan.

Dengan sokongan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Esports Integrated (ESI), PWEM merancang pelbagai inisiatif utama bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan wanita dalam industri yang didominasi lelaki.

Menurut Afrina, cabaran utama wanita dalam e-sukan bukan sekadar peluang tidak seimbang, tetapi juga isu keselamatan digital, gangguan seksual, diskriminasi jantina dan stigma masyarakat terhadap kemampuan wanita dalam arena kompetitif.

“Ramai wanita berbakat dalam e-sukan, tetapi masih berdepan halangan persepsi dan keselamatan.

“PWEM ditubuhkan untuk menjadi suara dan pelindung komuniti ini agar mereka bebas bermain, berkarya dan berkembang tanpa rasa takut atau prejudis.

“Persatuan juga menekankan program advokasi dan kesedaran untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan ruang digital selamat dan inklusif,” katanya kepada K-Remaja.

Wanita dalam komuniti e-sukan sering dianggap kurang kompetitif, kurang fokus dan bukan gamer sebenar.

Stereotaip ini wujud kerana persepsi e-sukan sebagai ruang lelaki, menyebabkan wanita kurang diberi peluang dalam scrims (perlawanan latihan antara dua pasukan), slot kejohanan dan peluang komersial.

Bagi mengatasi halangan ini, PWEM menyediakan program pembangunan bakat dan kejohanan wanita sebagai platform untuk membuktikan kemampuan sebenar pemain wanita.

Selain itu, stigma tersebut menjejaskan peluang profesional wanita kerana pasukan, jurulatih dan penaja lebih cenderung memilih pemain lelaki tanpa menilai rekod prestasi wanita secara objektif.

Akibatnya, akses kepada latihan intensif, scrims berkualiti dan pendedahan profesional menjadi terhad.

PWEM menawarkan latihan tersusun, scrims kompetitif dan rekod prestasi sebagai bukti kemampuan yang sah untuk organisasi e-sukan.

Afrina berkongsi, ramai pemain wanita terpaksa menyembunyikan identiti atau menutup mikrofon kerana bimbang ejekan, komen seksual dan trolling berasaskan jantina.

“Tekanan daripada komen seksis menjejaskan keyakinan, fokus, motivasi dan kesihatan mental, menyebabkan ramai berhenti kerana masalah berterusan tidak ditangani dengan baik.

Afrina Fatini (tengah) menerusi PWEM menganjurkan aktiviti e-sukan bagi menarik minat lebih ramai wanita ke dalam e-sukan.

“PWEM mengumpul maklumat ini untuk advokasi dasar antidiskriminasi serta mendidik pemain tentang penggunaan alias selamat, ciri privasi dan budaya komunikasi lebih sihat,” katanya.

Selain itu, bakat wanita sering dipandang sebelah mata walaupun prestasi setaraf lelaki, disebabkan budaya patriarki dalam gaming.

Akibatnya, pelaburan, latihan dan peluang profesional menjadi tidak seimbang. PWEM komited membuktikan bakat wanita adalah sebahagian penting daripada ekosistem kompetitif negara.

Gangguan digital dan seksual masih menjadi isu serius, termasuk komen merendahkan, mesej tidak senonoh dan ancaman dalam chat, komunikasi suara dan DM.

Laporan menunjukkan lebih separuh pemain wanita di Malaysia mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk gangguan digital.

Oleh itu, PWEM merancang kempen kesedaran, saluran aduan sulit, sokongan komuniti, rujukan kepada kaunselor profesional dan kerjasama dengan platform permainan untuk melindungi identiti mangsa serta mempercepat tindakan terhadap pelaku.

Bantuan undang-undang disediakan jika ancaman keselamatan berlaku.

PWEM juga menekankan kesihatan mental dalam program latihan dan pendaftaran kejohanan, termasuk sesi motivasi, mentorship, latihan mental dan sokongan kaunseling melalui badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar psikologi.

Matlamatnya ialah memastikan komuniti wanita mempunyai tempat selamat untuk bantuan dan bimbingan emosi.

“Selain pembangunan pemain, PWEM menyediakan pensijilan, latihan dan akses peluang industri bagi meluaskan kepakaran wanita dalam semua bidang e-sukan.

“Wanita sering menghadapi gender-bias yang meragui autoriti mereka walaupun berprestasi tinggi. Kekurangan role model wanita menguatkan halangan ini.

“PWEM menyokong wanita melalui latihan kepimpinan dan platform untuk memimpin projek dan pasukan bagi memecahkan glass ceiling dalam industri,” katanya.

Tidak terhenti di situ sahaja, wujudnya berat sebelah dalam pemilihan pasukan campuran kerana pemain wanita kadang dipilih sebagai token, bukan atas merit.

Atas dasar itu, PWEM menggalakkan garis panduan pemilihan telus berdasarkan data, prestasi dan disiplin, bukan jantina atau populariti.

Persatuan memperkenalkan polisi antiharassment dan garis panduan keselamatan sebagai standard acara anjuran mereka.

Pendidikan komuniti, penguatkuasaan kod etika dan audit keselamatan dijalankan dalam kejohanan untuk membina ruang selamat bagi semua pemain.

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, PWEM mahu melihat peningkatan ketara perwakilan wanita dalam pasukan profesional, jurulatih, produksi dan bidang teknikal serta turnamen wanita setanding dari segi hadiah, liputan dan penonton.

Afrina menegaskan matlamat PWEM ialah menjadikan Malaysia hab pembangunan e-sukan wanita di Asia Tenggara, melahirkan generasi remaja berani, percaya diri dan memanfaatkan platform esports untuk kerjaya sebagai pemain, pencipta kandungan, jurulatih, penganalisis serta pemimpin industri.

“PWEM terus mengalu-alukan wanita menyertai pelbagai program sepanjang tahun. Memperkasakan wanita dalam e-sukan bukan isu jantina sahaja, tetapi langkah penting membina ekosistem sihat dan mampan.

“Dengan sokongan kerajaan, industri dan komuniti, PWEM mahu menjadi rakan strategik bagi memastikan pembangunan esports Malaysia inklusif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN