PETALING JAYA – Tindakan pelajar sekolah menengah didakwa membawa telefon bimbit dan membuat siaran langsung di TikTok sewaktu guru sedang mengajar mengundang kemarahan orang ramai.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh pada hantaran Facebook berhubung perbuatan remaja perempuan tersebut.
“Budak sekarang, curi-curi bawa telefon kemudian buat ‘live’ masa di sekolah. Lebih teruk, masa cikgu mengajar ada pelajar buat ‘live’ sorok-sorok bawah meja sambil kutuk cikgu.
“Adab budak-budak sekarang ni ‘out’ sungguh. Nak dirotan, cikgu nanti ke dalam. Nak dibiar, makin rosak akhlak budaknya. Dilema. Namun membiarkan itu lebih selamat periuk nasi sang guru, begitulah,” katanya.
Hantaran itu dipersetujui oleh pengguna media sosial lain terutama dalam kalangan guru berikutan perbuatan pelajar tersebut dianggap sebagai kurang ajar dan tidak beradab.
“Kami guru dah berbuih mulut, tetap seludup masuk. Jika ambil tindakan, mak ayah pula melatah. Silap gaya, kami jadi mangsa. Jadi mak ayah atau penjaga, mohon pantau dan rampas,” kata seorang pengguna Facebook.
“Gara-gara nak cegah benda ni, akhirnya saya yang kena Sispa (aduan). Macam nilah nasib sebagai guru merangkap warden. Sekarang ni di sekolah baharu, dah tak ada roh nak mendidik dah. Cuma datang sekolah mengajar, cukup bulan ambil gaji untuk keluarga,” komen seorang lagi pengguna Facebook.
“Samalah budak kelas belakang. Cikgu sibuk buat kelas pecutan, boleh dia buat live TikTok,” kata individu lain dipercayai seorang guru. – KOSMO! ONLINE














