JAKARTA – Sebuah masjid di Tapanuli Selatan, wilayah Sumatera Utara mengundang perhatian orang ramai kerana dipenuhi serpihan kayu balak yang dihanyutkan arus banjir dan tanah runtuh, lapor portal berita Netral News.
Kejadian berlaku di Masjid Taqwa Garoga, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @affandinofri menunjukkan pekarangan masjid dikelilingi lumpur yang keras.
Perakam terkejut apabila menemui timbunan kayu balak serta ranting berselerakan di seluruh ruang solat.
Meskipun dibadai banjir lumpur, masjid itu masih teguh.
Penduduk tempatan dilihat bergotong-royong memindahkan serpihan dan membersihkan masjid.
Rakaman itu mencatatkan lebih 146,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Macam mana kayu sebanyak itu boleh masuk dalam masjid?” kata seorang netizen.
“Tingkap tidak pecah tapi kayu boleh masuk. Hebat kuasa Allah,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














