KOTA BHARU – Terkenal dengan jualan emas preloved (terpakai) di Pahang, Kedai Emas Sri Semantan Sdn. Bhd. (KESS) mengorak langkah melebarkan sayap dengan memilih Kelantan sebagai negeri kedua untuk membuka cawangan keempat perniagaan syarikat itu.
KESS yang dikenali dengan cogan kata ‘Soorga Emas Preloved’ sebelum ini sudah memiliki tiga cawangan perniagaan emas terpakai di Temerloh, Jengka dan Kuantan.
Pengerusi KESS, Mohd. Hafizal Mahmood berkata, pihaknya memilih untuk membuka cawangan keempat di Bandar Baru Tunjong di sini selepas mendapati Kelantan bukan sahaja terkenal dengan gelaran Serambi Mekah, sebaliknya boleh juga digelar Serambi Emas.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, kuasa membeli emas di Kelantan tidak kira sama ada yang baharu atau terpakai tinggi berbanding negeri lain.
“Sempena pembukaan KESS di Kelantan bermula Jumaat lalu, kita menawarkan potongan harga emas sebanyak RM15 untuk setiap satu gram menerusi Promosi Ppecoh Ppalo. Jadi, pembeli membayar pada harga RM515 segram kerana harga semasa ketika ini RM530.
“Tawaran ini tidak pernah dibuat di tiga lagi cawangan terawal KESS di Pahang semasa pembukaan premis sebelum ini dan promosi ini hanya di Kelantan,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Cawangan Keempat KESS di Bandar Baru Tunjong di sini pada Jumaat lalu.

Mohd. Hafizal memberitahu, beliau tidak menyangka hampir 3,000 pelanggan datang membeli pelbagai jenis emas terpakai yang ditawarkan KESS dalam tempoh tiga hari pembukaan premis tersebut di Kelantan.
Menurutnya, permintaan terhadap emas terpakai di cawangan baharu KESS sangat tinggi apabila syarikat tersebut menjual sebanyak hampir 16 kilogram emas dalam tempoh tiga hari.
“Meskipun menawarkan barangan kemas terpakai, pelanggan tidak perlu bimbang dengan kualiti produk yang dijual kerana kita memilih emas yang terbaik daripada kilang dan pihak-pihak tertentu.
“Emas terpakai ini mempunyai peminatnya tersendiri terutamanya bagi masyarakat di Kelantan,” ujarnya.
Beliau berkata, selepas Kelantan, KESS sedang dalam perancangan untuk membuka cawangan seterusnya di Shah Alam, Selangor dan Ipoh, Perak pada tahun depan.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md. Jumaat berkata, pembukaan cawangan keempat perniagaan di Kelantan bukan untuk bersaing dengan syarikat tempatan, sebaliknya KESS mahu memeriahkan industri penjualan dan pembelian emas di sini.
Menurutnya, selain itu, pasaran emas terpakai juga luas di Kelantan kerana ramai golongan wanita yang mencari barangan kemas yang lama berbanding baharu.
Tambahnya, cawangan KESS di Bandar Baru Tunjong berhadapan dengan CU Mart Tunjong terletak di lokasi yang strategik apabila kawasannya berada di pusat komersial yang sedang giat membangun di Kota Bharu.














