PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih ada inisiatif baharu bagi manfaat rakyat tidak sampai kepada golongan sasar dikehendaki.
Perdana Menteri berkata, susulan itu, kerajaan terpaksa berdepan perasaan tidak puas hati dan kemarahan rakyat di pelbagai peringkat.
Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan melancarkan 167 inisiatif baharu bagi manfaat rakyat di seluruh negara, namun ada kalanya ia tidak sampai kepada golongan sasar.
“Saya baru bincang dengan Datuk Seri Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Datuk Seri Fadillah (Datuk Seri Fadillah Yusof) tadi. Saya dengar dalam forum tadi, Datuk Zahid kata ada 140 ikhtiar untuk inisiatif baharu.
“Sebenarnya, kalau kita kira (ada) 167 inisiatif untuk rakyat, tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak. Yang sampai itu hanya sampah dan sumpah dan maki hamun,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, di sini hari ini.
Justeru, katanya, beliau mahu penjawat awam membantu melancarkan inisiatif itu dan menyebarkannya kepada semua peringkat rakyat.
“Penjawat awam masih mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk melaksanakan semua dasar dan inisiatif kerajaan supaya ia dapat dimanfaatkan golongan sasar. Penjawat awam perlu menyempurnakan tugas itu biarpun berdepan kecaman selain ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














