KULIM – Seorang pelajar melecur di kaki akibat terkena percikan minyak panas selepas kawasan tapak penjaja di Taman Mahsuri, Padang Serai di sini dilanda ribut petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, kira-kira tujuh gerai makanan di situ turut mengalami kerosakan.
Seorang remaja perempuan yang merupakan anak kepada peniaga pisang goreng melecur pada betis kiri akibat terkena percikan minyak panas daripada kuali yang terpelanting.
Peniaga pisang goreng, kuih dan air balang, Mohamad Nazir Abu Hassan, 51, berkata, ribut bermula selepas cuaca tiba-tiba mendung dan angin bertiup agak kuat.
“Saya berniaga bersama isteri, Roslina Rosli, 47, dan dua anak iaitu Adam Izzuddin, 16, dan Sarah, 14. Bila angin mula kuat, saya arahkan mereka kemas barang takut kena tempias hujan.
“Tak sampai 10 minit, angin berubah terlalu kencang dan saya suruh mereka berlindung di kedai berdekatan tetapi tiba-tiba ribut melanda dan menerbangkan struktur khemah besi sejauh 10 meter,” katanya ketika ditemui di sini.
Tambahnya, dalam usaha menyelamatkan barangan di gerai, anak perempuannya, Sarah, melecur di kaki kiri apabila minyak panas dalam kuali terpercik akibat hentakan tiang khemah. – KOSMO! ONLINE














