SEBERANG PERAI – Empat sahabat berdepan detik cemas apabila mereka dilaporkan tersesat lebih dua jam ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Cherok Tokun, Bukit Mertajam di sini, malam tadi.
Kesemua wanita berusia 25 tahun sebelum itu dikatakan mendaki bukit berkenaan secara berkumpulan dan telah tersasar di trek pendakian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 5.47 petang semalam dan kemudiannya bergegas ke lokasi terbabit.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam yang dianggotai Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I, Abu Bakar Hassan.
“Kejadian melibatkan empat mangsa telah sesat di dalam hutan ketika melakukan aktiviti pendakian dan mereka telah menghantar lokasi keberadaan melalui aplikasi WhatsApp.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu oleh pasukan polis dan orang awam. Dua mangsa berjaya ditemukan pada pukul 8 malam, manakala dua lagi pukul 11.03 malam tadi dalam keadaan selamat serta tidak mengalami kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, kesemua mangsa telah diberi rawatan awal oleh anggota Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat mangsa kemudiannya tamat sepenuhnya pada pukul 11.40 malam tadi. – KOSMO! ONLINE














