PETALING JAYA – Excel Travel dengan kerjasama Yayasan Maghfirah telah melancarkan pakej Ahlan Cairo khusus bagi orang ramai yang ingin meneroka bumi Mesir sambil mendalami ilmu Al-Quran.
Pengurus Besar Excel Travel, Abdul Hafiz A. Rahman berkata, pakej berharga RM16,900 itu merangkumi pakej lawatan ke tempat menarik seperti Piramid Giza, Alexandria, Fayoum, makam Imam Shafie, Lukman Hakim dan banyak lagi.
Selain itu katanya, pakej selama 17 hari 15 malam itu turut memberi peluang kepada peserta memperbaiki bacaan dan mendalami ilmu qiraat dengan guru-guru bertauliah dari Universiti Al-Azhar.
“Khususnya dalam pembetulan surah Al-fatihah, makhraj dan tajwid mengikut pendekatan Al-Azhar.
“Sempena pelancaran pakej ini juga, Excel Travel menawarkan potongan harga sebanyak RM2,000 kepada 20 peserta pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Lebih menarik katanya, seramai 25 orang syeikh yang mempunyai Sanad Qiraat Ali bersetuju untuk menyertai siri pertama program yang akan berlepas esok.
“Di sana, penginapan para peserta akan di tempatkan di bangunan sembilan tingkat milik Yayasan Maghfirah yang dikenali sebagai Darul Maghfirah.
“Bangunan yang baharu sahaja siap dibaik pulih dengan penginapan bertaraf hotel ini mampu memuatkan maksimum 40 orang pada satu-satu masa,”ujarnya.
Mengulas lanjut, Abdul Hafiz berkata, sebelum diterbangkan ke Mesir, para peserta akan disaring terlebih dahulu bagi menilai tahap penguasaan bacaan Al-Quran sebelum ‘diserahkan’ kepada guru masing-masing.
Katanya, sesi pembelajaran akan diadakan empat hari seminggu manakala pada Jumaat hingga Ahad program akan diisi dengan lawatan ke tempat-tempat menarik.
“Sebagai pengiktirafan kepada pengajian Tahsin Al-Quran itu, para peserta akan ditauliahkan dengan sijil pengesahan sanad dan tamat pengajian.
“Malah, sempena Ramadan yang akan menjelma beberapa bulan sahaja lagi, kita turut menyediakan pakej khas bagi memberi peluang kepada umat Islam di negara ini merasai pengalaman berpuasa dan beribadah di negara itu,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














