PETALING JAYA – Sikap pemurah seorang lelaki berbangsa India yang sering menyalurkan sumbangan untuk belanja makan golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) telah menarik perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh Nasi Kandar Sulaiman, lelaki itu memberi RM300 kepada pihak restoran setiap kali sumbangan.
“Sahabat India sumbang duit suruh belanja warga emas dan OKU. Ini kali ketiga dia sumbang duit suruh belanja makan.
“Yang sumbang duit adalah orang India tetapi ramai juga Cina dan Melayu dapat dibelanja. Orang kata sedekah memupuk perpaduan, Insya-Allah saya teruskan amanah ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya meluah rasa kagum terhadap sifat murah hati dan semangat perpaduan yang ditunjukkan.
“Terbaik. Sedekah bukan kira bangsa. Semoga pemberi diberikan kesihatan baik dan kesenangan,” kata Malek Nabilah.
“Ini lebih bagus daripada pecah rekod harga tertinggi. Belanja orang tua-tua, OKU dan yang tidak ada duit nak makan,” komen Vince Tokunaga. – KOSMO! ONLINE














