PETALING JAYA – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat melawat bayi kembar tiga yang lahir menerusi rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) di Hospital Melaka.
Kesultanan Pahang menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, dua bayi kembar kepada Mejar Ir. Ts Mohd. Fikry Amri Abd. Halim dan Sabrina Hakiem Zaini iaitu Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa ditempatkan di wad penjagaan biasa, manakala Maryam Al Khawla kini di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana perlu menjalani pembedahan jantung.
“Keberangkatan tiba Paduka Baginda di Hospital Melaka pada pukul 9.45 pagi disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman.
“Paduka Baginda kelihatan begitu ceria meluangkan masa kira-kira 45 minit bertemu ketiga-tiga bayi berkenaan yang merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004,” menurut Kesultanan Pahang.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar ibu bapa bayi kembar tiga ini agar menjaga anak-anak sendiri tanpa meletakkan mereka di bawah kawalan atau jagaan orang lain.
“Saya harap mereka jaga sendiri dan bersyukurlah Allah SWT kurniakan tiga anak sekali gus selepas diuji dengan kehilangan seorang anak sebelum ini,” titah baginda.
Paduka Baginda turut mendoakan agar ketiga-ketiga bayi ini membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang sepenuhnya.
Pada Januari lalu, Paduka Baginda selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF dengan penuh keprihatinan menawarkan rawatan IVF percuma kepada pasangan ini yang kematian anak akibat kecuaian pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka.
Tragedi berkenaan turut menarik perhatian dan simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan ini yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas berusaha dan menanti cahaya mata selama 13 tahun.
Sementara itu, Mohd. Fikry turut memuat naik pada Instagram menjunjung kasih Tuanku Azizah yang berkenaan mencemar duli melawat bayi kembar tiganya.
“Menjunjung kasih Tuanku Azizah dan Tun Ali Rustam serta isteri kerana perkenan mencemar duli dan sudi melawat kami sekeluarga di Hospital Melaka. Kejutan buat kami di hari jumaat yang mulia ini menerima tetamu istimewa sebagai hadiah untuk ‘triplet’.
“Mohon semua yang mengenali kami untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan Maryam Al Khawla yang masih di NICU. Kami menanti dengan penuh kesabaran untuk membawa pulang ke rumah seperti Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














