fbpx
Albert Tei (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas membayar ikat jamin hari ini.

Albert Tei pertikai ditahan seperti pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahannya seolah-olah seperti pengedar dadah dan pengganas pada Jumaat lalu.

Albert Tei berkata, kaedah serbuan terhadapnya menimbulkan persoalan besar mengenai prosedur operasi standard agensi berkenaan.

“Apa kesalahan saya, mereka kata (SPRM) saya melanggar notis… saya bukan jual dadah, saya bukan pergi rompak bank, saya bukan terrorist (pengganas),” katanya selepas prosiding kes.
Ujarnya, beberapa pegawai lain turut mengacukan pistol sebelum menahannya dalam keadaan baring dan mengikat kedua-dua tangannya menggunakan kabel ‘tie’.

“Isteri dan anak-anak saya yang tak tahu apa-apa dipaksa duduk di ruang tamu, mereka panik, apa kesalahan saya sampai diperlakukan sedemikian.

“Saya diperlakukan seperti itu dihadapan keluarga saya, seolah saya ini seperti penjenayah berbahaya,” katanya.

Menurutnya, dekoder rakaman kamera rumahnya turut diambil ketika serbuan.

Sebelum ini media melaporkan pegawai SPRM yang menjalankan serbuan ke kediaman ahli perniagaan Albert Tei dilengkapi kamera badan termasuk alat rakaman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pegawai SPRM dilengkapi dengan alat rakaman termasuk kamera badan dan menafikan berlakunya salah laku seperti yang didakwa.

Terdahulu Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan Albert didakwa memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Albert diikat jamin 70,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tarikh 8 Januari ini ditetapkan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI