fbpx
SERENA

Serena Williams nafi keluar persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW YORK – Legenda tenis dunia, Serena Williams tampil menafikan spekulasi beliau sedang mempersiapkan diri untuk kembali beraksi secara kompetitif.

Pemenang 23 gelaran Grand Slam itu terpaksa memuat naik kenyataan selepas jurucakap Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) mendedahkan Serena telah mendaftar semula dalam senarai ujian anti doping.

Pendaftaran tersebut lazimnya merupakan langkah mandatori pertama bagi mana-mana atlet yang berhasrat untuk keluar daripada persaraan.

Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia yang sudah berusia 44 tahun itu segera menjernihkan keadaan mengenai khabar angin hangat bertiup kencang ketika ini.

“Saya tidak akan kembali. Spekulasi yang tersebar ini sangat gila,” katanya.

Serena tidak beraksi dalam sebarang kejohanan sejak mengucapkan selamat tinggal kepada dunia profesional tenis pada Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2022.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA), Brendan McIntyre dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya sedia maklum Serena telah menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada ITIA.

“Jika Serena memutuskan untuk kembali dan bersaing di peringkat profesional, kami bersama peminat akan menyambut kepulangan salah seorang juara terhebat dalam sejarah sukan ini dengan penuh semangat,” katanya.

Mengikut peraturan ITIA, atlet yang telah bersara tetapi mahu kembali beraksi perlu berada dalam senarai ujian doping dan bersedia untuk diuji selama enam bulan sebelum dibenarkan menyertai sebarang pertandingan rasmi.

Terdahulu, kakak Serena, Venus Williams turut kembali mewarnai kancah tenis pada usia 45 tahun, Julai lalu selepas hampir setahun setengah berehat dan menjadi pemain tertua beraksi dalam acara perseorangan Terbuka AS sejak 1981. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN