fbpx
KESEMUA atlet UiTM menunjukkan wang saku diterima mereka daripada UiTM pada majlis diadakan di Shah Alam semalam. - MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

UiTM kecualikan yuran pengajian jika menang pingat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) terus menyumbang kepada dunia sukan negara apabila 44 pelajarnya terpilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 9 Disember ini.

Menariknya, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin mendedahkan, atlet-atletnya yang berjaya membawa pulang apa sahaja pingat akan dikecualikan daripada membayar yuran pengajian sepanjang mereka belajar di universiti tersebut.

Menurutnya, ia sebagai tanda penghargaan universiti kepada mereka yang mengharumkan nama negara serta UiTM.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap mana-mana atlet. Apa sahaja pingat yang diperoleh, UiTM akan bangga dengan pencapaian mereka.

“Apapun, kita letakkan harapan kepada angkat berat dan petanque memandangkan atlet dua acara ini sudah mencapai kelas dunia,” katanya selepas menemui kesemua atlet berkenaan di UiTM Shah Alam semalam.

Mereka yang terpilih mewakili Malaysia dalam acara besbol, sofbol, petanque, woodball, kayak, memanah, ragbi, angkat berat, pelayaran, kanu, bola baling, dragon boat, berbasikal, hoki, futsal, bola jaring dan karate.

Sementara itu, atlet petanque negara, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, 26, berazam untuk memenangi pingat emas pada edisi kali ini yang merupakan penampilan kelimanya di pentas berprestij Asia Tenggara tersebut.

“Saya sudah bersiap sedia 90 peratus. Sukan SEA sebelum ini saya pernah dapat pingat perak dan gangsa. Kali ini saya berazam dapat pingat emas, harap pada hari pertandingan nanti, tuah akan memihak saya,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN