PETALING JAYA – Kemalangan motosikal lapan tahun lalu merubah kehidupan seorang pemuda apabila kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda sepanjang hayat untuk bergerak dan melakukan urusan seharian.
Mohamad Arif Ahmad, 25, disahkan lumpuh separuh badan selepas saraf tunjangnya putus akibat kemalangan ketika sedang bekerja sebagai penghantar makanan di Senai, Johor.
“Pada tahun 2017, saya terlibat dalam kemalangan dengan kereta. Insiden itu menyebabkan saya mengalami kecederaan serius pada tulang belakang. Doktor mengesahkan bahawa saraf tunjang saya putus.
“Sejak itu, saya lumpuh separuh badan dan perlu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak. Pada mulanya, memang sukar untuk menerima kenyataan. Keluarga juga sangat terkesan kerana saya bekerja bagi membantu keluarga,” katanya.
Menurutnya, proses pemulihan mengambil masa setahun namun berkat bantuan keluarga dan rakan-rakan dirinya dapat bangkit meneruskan kehidupan sebagai seorang orang kurang upaya (OKU).
“Keyakinan diri yang hilang selepas perubahan drastik membuatkan saya hampir berputus asa. Memang tidak mudah untuk bangkit tapi dengan bantuan, sokongan ia membantu saya mengubati kesedihan,” katanya.
Mohamad Arif berkata, dia menggunakan kemahiran menggunting rambut sejak bangku sekolah sebagai sumber pendapatan berikutan tidak dapat keluar bekerja ketika itu.
“Tidak mudah untuk mencari pekerjaan apatah lagi apabila bergelar OKU. Saya membeli sebuah kerusi roda boleh laras bagi memudahkan diri ini menggunting rambut pelanggan.
“Sejak enam tahun lalu kerusi roda adalah peneman hidup, Tiada komen negatif, tetapi ada yang kagum kerana saya boleh bekerja jadi tukang gunting rambut walaupun berkerusi roda.
“Peluang bersama komuniti OKU lain sedikit sebanyak membuka mata untuk tetap bersyukur.
“Saya rasa diri bertuah kerana berpeluang mencuba perkara baharu selain bertemu dengan rakan-rakan OKU yang ujian hidupnya lebih berat. Ramai yang kehilangan tangan, penglihatan atau pertuturan,” katanya yang kini bekerja di sektor swasta.














