PUTRAJAYA – Resolusi dan langkah segera oleh kerajaan mengenai isu 10 ladang FGV Holdings Berhad (FGV) di Terengganu akan di bawa pada mesyuarat jemaah menteri esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini berlangsung mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda dan FGV bagi membincangkan isu berkenaan.
“Saya pasti beberapa saranan dan cadangan serta resolusi mesyuarat lembaga pengarah itu akan disampaikan kepada saya dan saya akan bincangkan.
“Esok (isu dibentangkan) di mesyuarat Jemaah Menteri mengenai beberapa langkah tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada hari perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Ditanya bilakah beliau akan bertemu dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan isu itu, Ahmad Zahid berkata, tarikh pertemuan belum ditetapkan.
Ditanya juga sama ada satu pasukan petugas khas untuk melihat isu sama supaya tidak berulang di negeri-negeri lain, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah besar mengenai isu itu.
Ahad lalu, FGV dilapor diberi tempoh tiga hari dari tarikh notis larangan menceroboh tanah diusahakan membabitkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar, untuk mengeluarkan aset boleh alih serta mengosongkan premis. – KOSMO! ONLINE














