GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan strategik jangka panjang dengan Intel Corporation menerusi pembangunan ‘Advanced Packaging Plant’ di Bayan Lepas, yang kini hampir siap sepenuhnya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengikuti rapat perkembangan projek berkenaan sejak beberapa tahun lalu, terutama selepas era pandemik Covid-19 dan dimaklumkan bahawa pembinaannya berjalan mengikut jadual.
“Kami dimaklumkan bahawa proses pembinaan berjalan lancar dan kemudahan itu dijangka memperoleh Sijil Perakuan Siap tidak lama lagi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi Intel yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lip-Bu Tan, di pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan sewajarnya bagi memastikan projek mega tersebut disempurnakan mengikut keperluan dan kepentingan industri.
“Jika ada apa-apa yang memerlukan sokongan kerajaan negeri, kami sedia membantu. Kemudahan ini bakal menjadi aset penting bukan sahaja kepada Bayan Lepas tetapi juga kepada ekosistem industri Pulau Pinang,” katanya.
Kon Yeow berkata, Intel merupakan sebahagian besar daripada pembangunan industri negeri ini sejak lima dekad lalu.
“Intel adalah sebahagian daripada Pulau Pinang, dan Pulau Pinang pula membangun bersama Intel. Kehadiran mereka memperkukuh rantaian bekalan kita dan mengangkat status negeri ini sebagai Lembah Silikon Timur,” katanya.
Sementara itu, Lip-Bu Tan dalam ucapannya turut melahirkan penghargaan terhadap hubungan sejarah panjang antara Intel dan Malaysia sejak syarikat tersebut memulakan operasi di Pulau Pinang pada 1972.
Beliau berkata, Pulau Pinang kekal sebagai nod strategik global bagi Intel khususnya dalam bidang pembungkusan termaju yang dianggap komponen kritikal dalam rantaian bekalan pembuatan semikonduktor dunia.
“AI sedang mengubah segala-galanya. Dalam dua tahun akan datang, seluruh rantaian bekalan global bakal melalui cabaran terbesar. Peranan Pulau Pinang amat signifikan dalam menghadapi perubahan ini,” katanya.
Menurut beliau, Intel juga terus memperkukuh kerjasama dengan universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan dan sains data bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran tinggi. – KOSMO! ONLINE














