fbpx
Fadil.

Op Songsang: Polis nafi dakwaan salah guna kuasa, tahanan lebih 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyalahgunakan kuasa dan menahan individu melebihi tempoh 24 jam susulan serbuan ‘Op Songsang’ di sebuah premis di Chow Kit pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan terhadap semua individu yang ditahan dijalankan mengikut prosedur standard tanpa sebarang pelanggaran undang-undang.

Katanya, dakwaan tahanan melebihi 24 jam adalah tidak benar ekoran setiap prosedur dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Serbuan dilakukan pada pukul 8 malam. Kami proses tangkapan beramai-ramai di lokasi dan bawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen. Laporan lengkap siap sekitar pukul 12 tengah hari keesokan harinya.

“Selepas itu, antara pukul 1 hingga 3.30 petang, kita jalankan siasatan secara komprehensif. Permohonan reman dimasukkan ke dalam sistem dan proses ini mengambil kira-kira tiga jam setengah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemantapan Polis Kuala Lumpur Merentasi Cabaran Memacu Kesejahteraan Siri 3 di sini hari ini.

Tambah beliau, permohonan reman di hadapan majistret dibuat pada pukul 6 petang, masih berbaki dua jam sebelum tempoh 24 jam tamat.

“Disebabkan jumlah tangkapan ramai dan kehadiran 14 peguam, proses itu mengambil masa sehingga malam.

“Bila reman tidak dibenarkan, kita perlu lakukan profiling dan memanggil penjamin. Proses menunggu penjamin mengambil masa, tapi tahanan melebihi 24 jam tidak berlaku,” ujarnya.

Mengulas dakwaan wujudnya layanan dua darjat, Fadil menegaskan bahawa polis mengendalikan semua tahanan secara sama rata tanpa sebarang ‘double standard’.

Dalam pada itu, Fadil turut menolak dakwaan badan bukan kerajaan dan media antarabangsa yang mendakwa operasi tersebut menafikan kebebasan berekspresi.

“Kami melaksanakan tanggungjawab sebagai penguat kuasa undang-undang mengikut perlembagaan dan peraturan. Hak individu tidak dinafikan. Fokus kami adalah keselamatan awam,” tegasnya.

Pada Jumaat lalu, seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam ditahan dalam serbuan bersepadu di sebuah premis hiburan di Chow Kit kerana disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN