SEMENYIH – Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berharap suspek yang terlibat dalam pembunuhan anaknya itu segera diheret ke mahkamah selepas kematiannya diklasifikasikan sebagai kes bunuh kelmarin.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, dia juga berharap pihak yang bersubahat dalam kes itu termasuk cubaan menutup pembunuhan anaknya akan turut menerima hukuman.
“Harapan saya memang nak kebenaran terbukti. Bukan setakat untuk keadilan anak saya sahaja, kita boleh hentikan apa jenayah-jenayah (lain) yang berlaku di sebalik kematiannya.
“Mungkin ada rasuah, mungkin ada komplot pihak-pihak tertentu untuk menutup kes ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Taman Pelangi Semenyih di sini semalam.
Dia berpuas hati apabila kes kematian anaknya diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sekali gus membuktikan firasatnya adalah benar.
Katanya, keluarga percaya Syamsul Haris, 22, menjadi mangsa penganiayaan sejak melihat keadaan jenazahnya anaknya itu di unit forensik dan mengesyaki ada sesuatu cuba diselindungi pihak tertentu.
“Hasil bedah siasat kedua pun menyokong apa yang kami rasa.
“Daripada bukti gambar (jenazah), semua orang yang tengok memang perkara pertama yang mereka fikirkan ini kecederaan kritikal dan macam sesuatu,” katanya.
Dia bersyukur kerana perjuangan untuk mendapatkan keadilan selama empat bulan mula berhasil.
Kelmarin, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian Syamsul Haris yang juga pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dapatan itu diperoleh selepas taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).













