SKUAD taekwondo kyorugi negara bakal tampil dengan wajah baharu di Sukan SEA Thailand apabila majoriti barisan atlet terdiri daripada pelapis muda, namun ketua jurulatih, Syed Taufiq Syed Abdul Hamid menegaskan sasaran pingat emas tetap tidak berubah.
Taufiq berkata, meskipun komposisi pasukan dikuasai muka baharu, persiapan skuadnya kekal berada pada landasan terbaik hasil kem latihan intensif di Korea Selatan dan Thailand yang menjadi medan penting memantapkan fizikal serta taktikal atlet.
“Kita masih berada di landasan tepat untuk persiapan kali ini. Jadi, kita masih sasarkan untuk kyorugi satu pingat emas dan poomsae satu pingat emas,” katanya.
Dua atlet berpengalaman iaitu juara bertahan, Syafiq Zuber dan pemenang gangsa edisi lalu, Fu Cern Put Thai turut disenaraikan bagi memperkukuh cabaran dalam misi mempertahankan pingat pernah diraih sebelum ini.
Mengulas turun naik prestasi atlet muda, Taufiq tetap optimis mereka mampu memberi saingan sambil menegaskan pengalaman latihan luar negara sudah cukup membentuk keyakinan pasukan.
“Masih relevan sasaran pingat itu kerana pasukan terlibat dengan kem latihan di Korea dan Thailand. 90 peratus atlet tahun ni semuanya atlet-atlet baharu. Cuma Syafiq dengan Fu Cern sahaja yang berpengalaman, yang lain memang fresh,” katanya.
Beliau turut menjelaskan penyertaan atlet baharu bukan sekadar pendedahan semata-mata kerana beberapa nama tetap disasarkan berada di podium, namun kebanyakan mereka masih kategori B dan penyertaan kali ini lebih bertujuan memberi pengalaman di Sukan SEA.
Tumpuan turut terarah kepada Syafiq dan Fu Cern yang memiliki rekod cemerlang, namun Taufiq mengingatkan undian awal bakal memainkan peranan besar dalam menentukan laluan mereka.
Cabaran di Bangkok dijangka sengit, terutama dengan Thailand mempertaruhkan Banlung Tubtimdang, Phannapa Harnsujin dan Sasikarn Thongchan, selain Filipina yang turut menjadi ancaman utama dalam memburu pingat emas kyorugi. – KOSMO! ONLINE














