KUALA LUMPUR – Khidmat pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia berada dalam pertimbangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memperkuat skuad negara menjelang Piala Thomas di Horsens, Denmark, tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu dijangka dipanggil menyertai kem latihan berpusat bersama pemain profesional lain sebagai langkah persediaan menghadapi kejohanan berpasukan paling berprestij itu.
Jelas legenda badminton negara itu, walaupun Zii Jia menamatkan musim 2025 lebih awal akibat kecederaan pergelangan kaki dan masalah belakang, kelibatnya tidak boleh diketepikan begitu sahaja memandangkan situasi semasa kem perseorangan lelaki negara yang disifatkan sebagai ‘agak rapuh’.
“Kami akan memanggil pemain profesional untuk bersama dalam persiapan Piala Thomas. Zii Jia tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Namun, tahap pemulihan Zii Jia masih tidak dapat dipastikan kerana kita belum menerima sebarang maklum balas mengenai keadaannya. Kita harap dalam tempoh enam bulan ini, dia dapat pulih sepenuhnya.
“Kita juga perlu melihat perkembangan ranking serta perancangan kejurulatihan bagi memastikan persiapan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat bersama jurulatih kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Untuk rekod, Zii Jia hanya menyertai lima kejohanan sepanjang tahun ini akibat masalah kecederaan yang membelenggunya.
Mengulas lanjut mengenai sektor perseorangan lelaki, Chong Wei tidak berselindung bahawa prestasi empat pemain naungan badan induk itu, Leong Jun Hao, Justin Hoh, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Eogene Ewe masih belum mencapai tahap kestabilan yang diinginkan.
Justeru, prestasi mereka di Sukan SEA Thailand yang akan bermula Ahad ini bakal menjadi medan penilaian penting dalam proses pemilihan ke skuad Piala Thomas nanti.
“Perseorangan kita agak rapuh sedikit, tetapi dengan apa yang ada, itulah yang akan kita bawa.
“Kita belum tahu bagaimana Jun Hao, Justin, Aidil dan Eogene akan beraksi di Sukan SEA. Masih ada enam bulan sebelum Piala Thomas, jadi kita berharap jurulatih dapat mempersiapkan mereka sebaik mungkin,” jelasnya.
Skuad badminton negara dijadual berlepas ke Thailand, Jumaat ini bagi menghadapi Sukan SEA, sebelum fokus beralih sepenuhnya kepada persiapan Piala Thomas dan Piala Uber. -KOSMO! ONLINE














