fbpx
Barisan atlet karate negara yang cemerlang ketika menyertai Kejohanan Karate Dunia di Kaherah, Mesir pada Ahad lalu.

Geran tak setimpal, MAKAF tawar hati anjur kejohanan antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meluahkan rasa kecewa dengan jumlah Geran Padanan Sukan (GPS) yang disifatkan tidak setimpal, sekali gus memutuskan untuk tidak lagi menganjurkan sebarang kejohanan bertaraf antarabangsa di Malaysia pada masa depan.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, beliau terkilan apabila MAKAF hanya menerima geran sebanyak RM450,000 bagi penganjuran Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 sedangkan kos sebenar mencecah RM1.5 juta.

Tegasnya, jumlah itu dianggap tidak adil memandangkan kejohanan tersebut yang berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan itu bertaraf antarabangsa dengan penglibatan lebih 1,200 atlet dari 82 negara.

“Saya rasa kecewa kerana baru-baru ini di Parlimen, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi GPS, tapi MAKAF dapat RM450,000 sahaja. Saya tak nampak ‘juta’ itu.

“Dua tahun lepas ketika anjur Kejohanan Karate Asia (AKF) di Melaka, saya dapat RM1 juta. Tetapi bila anjur kejohanan dunia yang membabitkan 1,200 atlet dan 82 negara, jumlahnya berkurang drastik.

“Ia tidak adil bagi karate. Sebagai Presiden, saya rasa ini tidak patut kerana sukan lain mendapat lebih daripada itu. Saya tidak salahkan menteri kerana beliau menyatakan kelulusan geran bukan ditentukan oleh pihaknya.

PRESIDEN Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad kecewa Geran Padanan Sukan tidak setimpal.

“Jadi, saya memang kecewa dengan apa yang berlaku. Saya keluar duit saya sendiri dan selesaikan apa yang tertunggak,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Meraikan Kejayaan dan Pemberian Insentif kepada C. Shahmalarani di sini sejurus memenangi pingat perak di Kejohanan Karate Dunia di Kaherah, Mesir pada Ahad lalu.

Kecewa dengan situasi itu, Azmi menegaskan beliau telah menolak tawaran Persekutuan Karate Dunia (WKF) untuk Malaysia kembali menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan, walaupun ia selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana berasakan kerajaan tidak memberikan sokongan sewajarnya kepada sukan berkenaan walaupun ia konsisten menyumbang pingat.

“Baru-baru ini di Kaherah, WKF panggil kita untuk menganjurkan lagi, tapi saya tolak. Saya rasa kerajaan tidak menyokong saya.

“Saya bawa kejohanan antarabangsa ke Malaysia bukan untuk bermegah, tetapi demi mendapatkan mata kelayakan ke WKF dan pendedahan pegawai teknikal tempatan. Jika kerajaan rasa sukan ini tak penting, tak perlu beri langsung (dana), saya boleh uruskan sendiri, tapi jangan tanya pasal pingat nanti penampilan kita sewaktu temasya utama,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Azmi memberi jaminan bahawa kontrak jaguh karate negara, R. Sharmendran yang tamat Disember ini akan disambung.

Malah, beliau sedia menggunakan dana sendiri untuk membayar gaji atlet berkenaan sekiranya Majlis Sukan Negara (MSN) tidak berbuat demikian.

“Kalau MSN tak bayar gaji dia, saya akan bayar. Selagi saya Presiden, saya bertanggungjawab memastikan kebajikan atlet terbela,” katanya.

Mengenai Sukan SEA Thailand 2025, Azmi meletakkan sasaran tiga pingat emas namun optimis jumlah itu mampu dilepasi berdasarkan prestasi semasa atlet negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN