fbpx
FAIZAL (tengah) berharap rakan sepasukan bangkit melupakan kekecewaan PSAS dengan meraih pingat emas Sukan SEA.

Faizal seru kebangkitan, pertahan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENYERANG berpengalaman skuad hoki negara, Faizal Saari mahu bangkit semula selepas episod kecewa di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) dan segera menumpukan perhatian kepada misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Thailand minggu depan.

Menurutnya, kegagalan mencapai sasaran ke final PSAS jelas memberi kesan besar kepada moral pasukan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan menjelang temasya dwitahunan itu.

Faizal berkata, seluruh pasukan perlu memanfaatkan sesi latihan singkat sebelum berlepas ke Bangkok untuk memperbaiki segala kekurangan ketika aksi di PSAS minggu lalu.

“Sekarang seluruh pasukan memang rasa down (kecewa), emosi pemain dan penyokong pun sama sebab kami tak capai sasaran ke final.

“Tapi kami kena bangkit secepat mungkin. Minggu depan ada dua hari latihan sebelum Sukan SEA, jadi kami kena pulihkan diri dan kembali fokus. Itu penting untuk kami sekarang,” jelasnya.

Faizal juga optimis Speedy Tigers tetap berada di landasan tepat biarpun barisan kali ini tidak sepenuhnya lengkap kerana beberapa pemain menyertai skuad hoki lima sebelah (5s) dan dalam dewan.

“Walaupun saya baru masuk semula dan nama tiada dalam senarai Sukan SEA, saya yakin pasukan tetap kuat. Adik saya (Fitri Saari), Marhan (Jalil), Azrai (Aizad Abu Kamal) semua ada. Walaupun bukan pasukan penuh, saya rasa tak ada masalah nak dapatkan emas,” ujarnya.

Faizal menambah, persaingan di Asia Tenggara juga tidak menggentarkan Malaysia kerana kekuatan dimiliki Speedy Tigers pada tahap berbeza berbanding Singapura atau Thailand, menjadikan peluang mempertahankan kejuaraan berada pada tahap tinggi.

“Di Asia Tenggara, kita masih pasukan terbaik. Kalau semua fokus dan bangkit cepat, emas itu memang kita boleh pertahankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN