SHAH ALAM – Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan sebahagian 14 syarat yang ditetapkan Mahkamah Majistret di sini berhubung penjagaan anak keduanya.
Zaim Ikhwan Zahari, 30, memfailkan rayuan itu menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co yang mana ia berdasarkan keputusan Mahkamah Majistret pada 21 November lalu yang telah menetapkan 14 syarat-syarat dan bon ke atas perayu dibawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini media melaporkan selepas 18 bulan anak kedua Zaim dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mahkamah Majistret di sini membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun itu dipulangkan ke pangkuan bapanya.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu, memenuhi 14 syarat yang dikemukakan pihak JKM antaranya memastikan kanak-kanak yang juga menghidap autisme itu tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa dan tiada kes penganiayaan atau berlaku pengabaian.
Selain itu bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya.
Mereka juga dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara ini perlu dimaklumkan kepada JKM.
Zaim Ikhwan sebelum ini dibebaskan tanpa perlu membela diri atas kes pengabaian Zayn Rayyan, manakala Ismanira Abdul Manaf, 30, diperintahkan membela diri.
Pada 31 Oktober, Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang menjalani hukuman lima tahun selepas didapati bersalah dengan permohonannya menangguh hukuman ditolak oleh Hakim Dr. Syahliza Warnoh. – KOSMO! ONLINE













