fbpx
BERTAHUN berusaha, Azlan berharap orang ramai menonton filem arahannya, Penghukum Nusantara Assasin di pawagam berhampiran.

‘Berhujan cari dana, masa shooting lori jatuh gaung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah untuk seorang pengarah baharu menghasilkan karya sulung, itulah dilalui Azlan Norani. Usahanya merealisasikan filem Penghukum: Nusantara Assassin ibarat mendaki puncak dengan penuh luka, jatuh dan bangkit semula. Bertahun berjuang, diuji dalam hampir setiap fasa produksi, impian anak kelahiran Ipoh itu akhirnya terlestari.

“Sepanjang berbelas bulan menghasilkan filem berkenaan, banyak dugaan dan cabaran saya lalui bersama kru produksi.

“Adakalanya diduga dengan begitu dahsyat. Sewaktu pertengahan cerita, saya perlu menghabiskan filem ini dengan hanya tiga kru sahaja dan lori saya jatuh dalam gaung.

“Tapi alhamdulillah, kita dapat hasilkan sebuah filem dan saya harap semua beri sokongan sebab usaha 13 tahun nak menghasilkan naskhah sulung ini bukan mudah,” katanya pada sidang media dan tayangan perdana Penghukum: Nusantara Assassin baru-baru ini.

Menurut Azlan, segala kepayahan membuatkan kejayaan menyempurnakan filem berkenaan terasa lebih bermakna.

“Syukur Allah permudahkan walaupun tinggal bertiga sahaja menjayakan solekan, pengurusan seni dan sebagainya. Memang sangat mencabar, malah perjalanan untuk hasilkan filem melalui jalan berliku.

“Saya dengan bapa berhujan ke Kuala Lumpur untuk mencari dana, kena halau dan sebagainya. Macam-macam saya lalui dan akhirnya dapat juga dipertontonkan kepada orang ramai,” katanya.

Mengambil masa enam bulan untuk proses penggambaran, Azlan menyifatkan projek tersebut sebagai amanah yang perlu diselesaikan walau berdepan kekangan besar.

“Untuk filem ini penggambaran ambil masa selama enam bulan. Saya anggap ini sebagai satu amanah jadi macam mana pun saya tetap berusaha untuk siapkan dan alhamdulillah tetap ada yang setia berjuang bersama saya.

“Ini pengalaman yang tak boleh dilupakan,” katanya yang meminati seni perfileman sejak kecil.

Diterbitkan Terang Films & PMD Production, Penghukum: Nusantara Assassin sudah menemui penonton bermula 20 November lalu.
Naskhah berkenaan mengisahkan Salahuddin, lelaki berusia 60-an yang membesarkan cucu tunggalnya, Yasmin selepas kematian ibu bapanya. Salahuddin menatang cucunya itu bagai minyak yang penuh.

Suatu hari, Salahuddin terlambat menjemput Yasmin dari sekolah dan cucunya itu hilang tanpa jejak. Meski kes berkenaan dalam siasatan pihak berkuasa, Salahuddin enggan berpeluk tubuh dan berusaha menjejaki Yasmin.

Pencariannya membongkar kebenaran yang cukup pahit untuk ditelan. Hatinya luluh apabila mendapati cucu kesayangannya itu menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan diri.

Demi menuntut keadilan, Salahuddin kembali sebagai pemburu upahan di bawah Pustakalayah, sebuah agensi rahsia berkonsepkan perpustakaan yang mengekalkan warisan Melayu lama.

Dari situ bermulalah misi berdarah menumpaskan sindiket kejam yang meragut nyawa Yasmin, sekali gus membangkitkan kembali sisi gelap dirinya yang lama terpendam.

Penghukum: Nusantara Assassin dibintangi Raib Salimn, Yusra Akma, Arwan Umar, Sahronizam Noor, Syazwan Zulkifly, Bell Ngasri dan Azhan Rani.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN