fbpx
Jetpack atau backpack telah diuji untuk membolehkan manusia terbang sejak tahun 1960-an dan kini keupayaan penerbangan semakin diperhebat dengan penggunaan kecerdasan buatan dan pelbagai sensor.

Evolusi ‘backpack’ terbang, dari 60-an hingga kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN manusia untuk terbang sendiri tanpa pesawat besar bukan lagi menjadi kisah fiksyen.

Dalam era kemajuan teknologi yang semakin pesat, impian manusia untuk terbang secara individu tanpa pesawat atau helikopter semakin menghampiri realiti.

Sepanjang dua dekad terakhir, sejumlah syarikat dan penyelidik antarabangsa telah memajukan konsep flying backpack iaitu varian moden jetpack dan jetsuit.

Inovasi itu menggunakan gabungan turbin mikro, pemacu elektrik berkuasa tinggi serta sistem kawalan automatik.

Ia berupaya menghasilkan peranti yang mampu mengangkat seorang manusia dan melakukan penerbangan dalam jarak serta tempoh tertentu. Berdasarkan penulisan pakar kejuruteraan, Philip E. Ross dalam portal IEEE

Spectrum, kemajuan teknologi itu bukan saja hasil daripada peningkatan kemampuan enjin, sebaliknya melibatkan bahan (seperti gentian karbon), bateri berketumpatan tenaga lebih tinggi dan sistem sensor menyokong kestabilan penerbangan.

“Antara jenama antarabangsa yang menonjol dalam arena ini adalah Gravity Industries (jetsuit), Zapata (flyboard air) dan Martin Aircraft (Martin Jetpack).

“Gravity Industries mengkomersialkan jet suit yang menggunakan beberapa turbin kecil pada badan untuk penerbangan jarak pendek dan demonstrasi. Sementara itu, Zapata menumpukan perhatian pada papan berkuasa (flyboard) yang mengetengahkan kebolehan hyper-mobility,” katanya.

Tambahnya, Martin Aircraft dari New Zealand telah lama mewujudkan model yang lebih praktikal menggunakan kipas berdek pada struktur berbentuk beg galas untuk meningkatkan tempoh penerbangan.

Menariknya, demonstrasi dan uji terbang oleh syarikat-syarikat itu telah menarik liputan media antarabangsa. Ini menjadikan teknologi tersebut lebih nyata berbanding dekad terdahulu.

Teknologi asas flying backpack sebenarnya berakar daripada pembangunan jetpack sejak 1960-an.

Ketika itu, agensi seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan tentera Amerika Syarikat mula mengkaji alat pendorong peribadi untuk kegunaan misi angkasa serta ketenteraan.

Namun, jetpack generasi awal menghadapi masalah seperti jarak penerbangan terhad, penggunaan bahan api sangat tinggi serta kawalan tidak stabil.

KINI, teknologi yang digunakan dalam flying backpack jauh berbeza. Ini kerana, alat penerbangan itu mula menggunakan komponen lebih kecil, motor elektrik atau turbin mikro lebih efisien serta sistem kawalan penerbangan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Dari segi kejuruteraan, cabaran utama masih berkisar pada nisbah daya kepada berat, autonomi tenaga dan keselamatan.

Kongsi Philip, jetpack generasi awal bergantung kepada bahan api berkuasa tinggi yang memberikan masa penerbangan sangat terhad.

MARTIN JETPACK merupakan salah satu jenama yang mengeluarkan flying backpack.

Kini, pendekatan hibrid (turbin kecil dan elektrik) serta kemajuan bateri telah memberi harapan untuk memanjangkan lagi tempoh terbang.

“Namun, purata ketahanan bateri jetpack masih jauh lebih rendah berbanding penerbangan tradisional.

“Ini menyebabkan teknologi itu masih terhad kepada misi khas seperti operasi kecemasan, pertunjukan sukan udara dan kegunaan ketenteraan,” ujarnya.

Kongsi Philip lagi, penambahbaikan bahan, reka bentuk aerodinamik dan sistem pemulihan kecemasan (seperti payung terjun balistik) merupakan fokus yang sangat intensif.

Sistem kawalan moden pula menyumbang kepada keselamatan dan kebolehgunaan.

Sementara itu, giroskop, sensor inersia, lidar mini dan unit pengurusan penerbangan (flight control units) membolehkan pembetulan automatik serta kestabilan dalam pelbagai kondisi angin.

Lebih penting, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan bantuan elektronik membolehkan ‘co-pilot’ digital mengawal imbangan, had laju dan laluan, sekali gus mengurangkan beban kognitif pengguna.

Katanya, dalam beberapa demonstrasi, juruterbang jetsuit masih memerlukan latihan intensif.

“Dari sudut keselamatan, flying backpack masa kini dilengkapi pelbagai sensor seperti giroskop, barometer, lidar mini dan sistem navigasi inersia.

“Sensor-sensor ini berfungsi untuk menstabilkan penerbangan dan mengawal arah secara automatik dan mengurangkan risiko hilang kawalan ketika berada pada ketinggian tertentu.

“Selain itu, AI pula bertindak sebagai ‘co-pilot’ digital yang menguruskan imbangan, kelajuan dan laluan penerbangan, selain memberi amaran awal jika terdapat situasi berbahaya seperti angin terlalu kuat atau paras bateri rendah,” kongsinya.

Di samping itu, sistem payung terjun kecemasan yang boleh terbuka dalam masa kurang dari 0.5 saat telah menjadi standard keselamatan dalam beberapa model jetpack.

Dari perspektif aplikasi, terdapat tiga bidang utama yang sesuai dengan penggunaan flying backpack atau jetpack ketika ini.

Pertama adalah operasi menyelamat dan kecemasan bagi mencapai kawasan sukar diakses dengan pantas.

Kedua, peningkatan mobiliti individu dalam operasi khas terutama bagi tujuan ketenteraan dan kegunaan hiburan atau rekreasi seperti pertunjukan udara serta sukan ekstrem.

Ketiga, demonstrasi diraja, acara lumba jetsuit dan persembahan awam di lokasi seperti Dubai, Emiriyah Arab Bersatu telah menunjukkan potensi komersial teknologi itu, biarpun operasi sebenar masih terhad disebabkan kos, keselamatan dan peraturan.

Selain itu, isu regulasi merupakan halangan besar jetpack bagi penggunaan secara meluas.

Agensi seperti EASA (European Union Aviation Safety Agency) dan badan pengawalseliaan lain di peringkat antarabangsa sedang berusaha membangunkan rangka kerja untuk Urban Air Mobility (UAM).

Berdasarkan portal EASA, persoalan tentang had ketinggian, zon larangan terbang, kelulusan alat dan latihan operator menjadi topik penting dalam rundingan peraturan jetpack.

Tanpa piawaian seragam, penggunaan bebas alat terbang peribadi boleh menimbulkan risiko kepada penerbangan komersial, keselamatan orang ramai dan privasi awam.

“Melihat ke hadapan, kemungkinan wujudnya ekosistem mobiliti udara berbentuk peribadi bergantung pada beberapa faktor.

“Antaranya pencapaian dalam teknologi tenaga (bateri solid-state), standard keselamatan ketat dan penerimaan sosial terhadap penggunaan ruang udara bandar.

“Jika gabungan ini tercapai, flying backpack atau varian jetpack yang lebih selamat dan mudah digunakan berpotensi menjadi alat khusus.

“Ia akan menjadi pengganti kenderaan darat terutama untuk misi pantas, lawatan peribadi jarak dekat atau pengalaman rekreasi premium,” katanya.

Namun, usaha mengkomersial jetpack dalam skala besar masih memerlukan masa dan pembaharuan undang-undang.

Kesimpulannya, flying backpack sudah bergerak daripada sekadar prototaip eksperimental ke demonstrasi yang meyakinkan dengan sokongan industri antarabangsa.

Cabaran teknikal dan peraturan masih besar, namun perkembangan semasa menunjukkan jalan yang jelas.

Justeru, inovasi berterusan, kolaborasi dengan pengawal selia dan faktor keselamatan akan menentukan sama ada impian terbang secara peribadi akan menjadi sebahagian daripada rutin manusia pada masa depan atau kekal sebagai ikon demonstrasi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN