GEORGE TOWN – Dua mangsa dilaporkan tercampak keluar dari van kilang yang terbabas dan melanggar tembok jalan sebelum terbalik di Jalan Mount Erskine di sini, pagi tadi.
Mangsa terdiri seorang wanita berusia 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van berusia 40-an pula mengalami kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, van yang membawa tujuh pekerja kilang itu dikatakan dalam perjalanan membawa mereka ke tempat kerja di Bayan Lepas.
Menurutnya, kemalangan yang berlaku telah mengakibatkan tiga mangsa tersepit di dalam van.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 7.05 pagi tadi, mangsa kedua pula selepas lima minit kemudian manakala mangsa ketiga telah dapat dikeluarkan pada pukul 7.17 pagi.
“Lima lagi mangsa yang tidak tersepit telah diberi rawatan awal di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM). Dalam kejadian itu, seorang daripada mereka telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita maut manakala enam lagi cedera parah apabila van kilang yang mereka naiki terbabit kemalangan ketika melalui Jalan Mount Erskine, kira-kira pukul 5.59 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE














