PETALING JAYA – Penduduk di Nilai dan Port Dickson, Negeri Sembilan serta Kuala Selangor, Selangor berdepan gangguan bekalan elektrik ketika ini disebabkan penutupan beberapa pencawang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
TNB CareLine dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, susulan hujan dan banjir yang melanda Kuala Selangor, pihak TNB telah menutup bekalan elektrik di kawasan sekitar demi keselamatan pengguna setempat.
“Penutupan pencawang elektrik di Jalan Rizab Masjid dan Southern Reality Ladang Bukit Ijok.
“Tutup semua suis di soket alir keluar dan tanggalkan palam kuasa peralatan elektrik. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” pesan TNB CareLine.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik di kawasan terjejas dijangka mengambil masa yang panjang kerana banyak pokok tumbang telah menghempap tiang dan talian TNB.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri talian TNB yang jatuh atau mana-mana pepasangan elektrik yang rosak.
“Pasukan teknikal sedang berusaha untuk memulihkan bekalan termasuk mengutamakan keselamatan semua pihak semasa kerja-kerja pemulihan bekalan,” lapor TNB CareLine. – KOSMO! ONLINE














