PARIS – Juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) menyerlahkan sikap tidak berputus asa apabila dua kali mempamerkan kebangkitan untuk mencatat kemenangan 5-3 ke atas Tottenham Hotspur di Parc des Princes awal pagi tadi.
Keputusan itu juga menjadi reaksi balas yang cukup positif buat PSG selepas tewas kepada Bayern Munich pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum ini.
Menariknya, bintang tengah Portugal, Vitinha menjadi watak utama kepada kemenangan itu apabila meledak hatrik dengan tiga jaringan pada minit ke-45, 53 dan 76.
Kapten PSG, Marquinhos juga menjadi pemain paling gembira dengan kemenangan kali ini kerana ia adalah penampilan ke-500 bersama juara Perancis itu.
“Prestasi yang bagus walaupun saya mahukan kami tamat perlawanan tanpa bolos. Spurs berjaya menyiapkan diri mereka dengan baik dan mampu mengeksploitasi kelemahan kami.
“Walaupun Spurs mampu berikan kesukaran, sikap kami menjadi perbezaan dalam perlawanan ini. Kami tidak pernah berputus asa dan kami juga mempunyai mentaliti yang cukup bagus,” katanya.
Fabian Ruiz dan Willian Pacho menyumbangkan dua lagi gol, manakala Randal Kolo Muani meledak dua jaringan serta satu lagi daripada Richarlison melengkapkan tiga jaringan Spurs.
Bagaimanapun, cerita manis PSG pada perlawanan itu ditutup dengan layangan kad merah ke atas Lucas Hernandez, namun tiga mata melonjakkan Les Parisiens ke tangga kedua carta liga UCL menerusi 12 mata. – AGENSI















