PETALING JAYA – Selangor FC memperoleh mata pertama pada penyertaan di Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) musim ini selepas bangkit mengikat Bangkok United 1-1 di Stadium Pathum Thani, sebentar tadi.
Bagaimanapun, keputusan itu langsung tidak menggambarkan situasi sebenar yang dilalui The Red Giants sepanjang perlawanan kali ini, menyaksikan tuan rumah muncul pasukan lebih baik.
Bintang import, Chrigor Moraes pantas membalas peluang yang diberikan oleh pengendali pasukan, Christophe Gamel apabila meledak gol penting buat pelawat pada masa kecederaan babak kedua.
Terdahulu, Selangor FC yang sudah sah tidak mampu meneruskan saingan ke peringkat kalah mati melakukan sedikit perubahan apabila merehatkan Faisal Halim dan hanya meletakkan Alvin Fortes di bangku simpanan.
Bangkok United nyata menjadi pasukan yang lebih baik sepanjang babak pertama apabila menguasai lebih 70 peratus permainan dan merekodkan enam percubaan tepat.
Walaupun berupaya memberikan cabaran kepada pertahanan tuan rumah, tiada gerakan merbahaya mampu dicipta oleh jentera serangan The Red Giants yang diketuai oleh Willian Lira.
Enam minit selepas aksi bersambung, gawang Selangor FC akhirnya bocor apabila Rungrat Phumichantuk berjaya melakukan tindakan susulan pantas untuk meletakkan pasukannya di depan.
Bangkok Angels terus mempamerkan penguasaan permainan manakala Selangor FC turut dilihat seperti hilang idea dan berdepan kesukaran untuk merapati pintu gol pasukan lawan.
Beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan, Moraes berjaya menempatkan diri di kedudukan tepat untuk menyambut lorongan Alif Izwan Yuslan dari arah kanan gawang Bangkok United. – KOSMO! ONLINE















